djshukri2015. Powered by Blogger.
RSS


Assalammualaikum WBT dan salam sejahtera. Terima kasih kerana anda sufi berkunjung ke laman blog eksklusif ini. Salam ceria dari saya kepada anda semua. Saya telah berkecimpung dalam dunia juruhebah dan pengacara majlis sejak tahun 1989 lagi. Iaitu ketika di bangku sekolah dan sewaktu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi lagi. Berbagai pengalaman pahit manis telah saya lalui dalam industri ini. Ketika awal pembabitan saya, tidak ramai juruhebah yang menyertai bidang ini seperti sekarang. Lantaran itu, tawaran demi tawaran untuk mengendalikan berbagai majlis keramaian telah saya perolehi.


Saya mula belajar menjadi juruhebah  ketika belajar di ITM Perak pada tahun 1989-1991. Bermula dengan secara suka-suka hingga akhirnya menjadi karier. Pada awalnya memang agak kekok untuk bercakap sebagai jurubehah, namun atas sokongan sahabat akhirnya saya berjaya memahami selok-belok dan karier seorang juruhebah. Sekitar tahun 1992 hingga 1994, saya banyak menjadi juruhebah untuk majlis-majlis perkahwinan dan juga pasaraya. 

Antara pasaraya terbabit ialah Mat Sapak dan Pasaraya Pelangi di Lurah Semantan Temerloh. Sekitar tahun 1995, saya berhijrah ke Kuantan dan memulakan karier sebagai juruhebah di pasaraya seperti Tunas Manja dan Terus Maju. Sekitar 1996-1998, saya menjadi juruhebah tetap di Komplek Membeli Belah Kuantan Parade. Dalam masa yang sama saya menjadi juruhebah sambilan dari Radio Tiga Kuantan (sekarang Pahang FM). Saya mengendalikan rancangan "Kuantan Express" dan rancangan kanak-kanak "Jaja dan Cici". Pengalaman sebagai juruhebah radio banyak mematangkan persembahan saya dalam bidang ini.


Pada Julai 1995 iaitu sebelum berhijrah ke Kuantan, saya telah terpilih menyertai rancangan bakat Sinaran Pasport Kegemilangan TV3. Walau pun gagal ke pusingan akhir, tetapi pengalaman tersebut telah mengajar saya lebih banyak lagi ilmu berguna dalam bidang hiburan ini. Percubaan ketika itu berbaloi apabila berjaya membawa pulang empat bintang bernilai RM800 dan hadiah-hadiah sampingan yang kesemuanya hampir RM4,000. 


Dalam masa yang sama saya juga banyak terlibat dengan majlis perakahwinan di Kuantan dan sekitarnya. Malah saya pernah menjadi juruhebah kontrak bersama Telekom Malaysia (TM) selama beberapa tahun. Saya turut berjinak-jinak dengan juruhebah dan pengacara untuk karnival serta expo besar di Pahang antaranya Rompin Fest, Pekan Fest, Lipis Fest, Jom Heboh TV, Sambutan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Di Aambang Merdeka, Di Ambang Tahun Baru, Hari Peladang, Nelayan Dan Penternak serta lain-lain acara besar yang diadakan di Kuantan. Selain dari itu saya juga turut mengendalikan majlis-majlis perkahwinan anak-anak VIP termasuk juga majlis perkahwinan anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Nurul Izzah.


Sekitar penghujung tahun 2013, saya mula berjinak-jinak dengan radio online streaming. Saya mula terlibat dengan radio internet Cili FM untuk beberapa bulan. Selepas radio tersebut dijual dan bertukar tangan, maka saya telah menubuhkan sebuah radio online sendiri yang dikenali sebagai CMK FM "Suara Generasi Baru". 


Menerusi siaran radio online, saya banyak belajar tentang teknik dan cara berinteraksi dengan lebih baik. Malah ketika bersama Cili FM, saya telah mengadakan studio sementara di beberapa program besar termasuk anjuran parti-parti politik. Malah, ramai juga yang hadir ke studio sebagai tetamu antaranya Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden PAS), Mazlan Aliman (Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan), Zulkefly Mohamad Omar (Bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan) dan Datuk Seri Abd Rahman Maidin (Bekas Presien Dewan Perniagaan Melayu Malaysia). Mereka telah ditemubual secara langsung menerusi studio radio online yang saya kendalikan. 


Radio internet yang saya kendalikan menjadi popular ketika itu kerana selain hiburan dan isu-isu rakyat, turut diselitkan sedutan kuliah-kuliah oleh pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus. Lantaran itulah semakin hari jumlah pendengar bertambah dari masa ke semasa. Pada masa ini studio radio internet online CMK FM masih lagi beroperasi dari Bandar Indera Mahkota, Kuantan.


Pengalaman dan kemahiran yang saya perolehi selepas lebih 20 tahun berkecimpung di bidang ini, telah memberi peluang kepada saya untuk berinteraksi dengan ramai orang diluar sana. Malah, sehingga ke hari ini saya masih lagi menjalankan aktiviti sewaan PA sistem, perkhidmatan juruhebah dan juga pengacara majlis. 


Aktiviti saya bukan sahaja melibatkan siaran hiburan biasa di majlis-majlis perkahwinan, malah telah berjaya menerjah kawasan surau dan masjid di sekitar Kuantan. Bagi program di kawasan keagamaan seperti itu, irama Islamik dan ketuhanan sahaja yang dimainkan. Ia bagi menyesuaikan keadaaan di kawasan terbabit. 


Gambar diatas adalah sewaktu saya mengendalikan cara "Jom Redah" anjuran Telekom Malaysia (TM) dalam sebuah surau di kawasan perumahan dekat Chendor, Kuantan. Saya juga banyak menjalankan tugas sebagai DJ Islamik bagi majlis-majlis perkahwinan sekiranya diperlukan. Konsep Islamik ialah hanya memainkan lagu yang berunsur ketuhanan diselang-selikan juga dengan beberapa buah lagu perkahwinan seperti kebiasaannya. 


Sekiranya anda berminat untuk menggunakan perkhidamatan saya, bolehlah hubungi di talian yang tertera. "perkhidmatan berkualiti harga berpatutan" adalah motto yang telah saya gunakan sejak sekian lama. Oleh itu, anda dipelawa menggunakan perkhidmatan yang saya tawarkan ini. Ia secara tidak langsung akan mencerikan lagi apa sahaja majlis keramaian yang akan anda adakan tidak lama lagi. Kadar pakej harga yang ditawarkan juga adalah tertakluk kepada perundingan dengan pihak tuan rumah atau pun penganjur sesuatu program dari masa ke semasa.  

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS